Kuala Lumpur, 8 Mac 2022,
AEON CO. (M) BHD. (AEON) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menandatangani Memorandum Persefahaman dalam usaha bersepadu untuk memperkasakan usahawan-usahawan francais yang mempunyai keahlian dengan MFA.
Memorandum Persefahaman yang dimeterai ini membolehkan AEON dan MFA meneroka keampuhan masing-masing serta mengembleng usaha dalam menyediakan rangka kerja dan platform untuk mempertingkatkan daya saing, peluang pemasaran serta promosi melalui perkongsian maklumat bagi menyokong, membangun serta menggalakkan perniagaan francais.
Melalui pendekatan ini, usaha akan turut diadakan untuk memperkembangkan perniagaan francais ke peringkat antarabangsa menerusi ekosistem AEON ke negara-negara seperti Jepun, China, Vietnam, Kemboja serta Indonesia.
Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON berkata, “Kami amat bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan MFA dan lebih daripada 500 ahlinya dalam usaha untuk mendorong para pengusaha francais terus maju ke hadapan bersama. Ianya selari dengan matlamat inisiatif kelestarian untuk negara iaitu AEON Sayap Bagimu bagi menyokong memajukan bidang keusahawanan francais dan pada masa yang sama merancakkan industri peruncitan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara.”
“Sebelum pandemik melanda, sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat signifikan. Pada tahun 2018, sektor ini mencatatkan sumbangan RM32 bilion kepada KDNK. Sedar akan potensi besar industri ini, minat para usahawan untuk menceburkan diri di dalam perusahaan francais tetap tinggi, walau pun situasi semasa yang mencabar. Adalah harapan kami kolaborasi ini dapat merancakkan pembangunan industri selain dari melahirkan para pengusaha francais yang berkebolehan tinggi serta mampu menangani peralihan corak pembelian para pengguna yang turut menjurus ke arah platform digital,” tambah Shafie lagi.
Naib Pengerusi MFA, Deric Yeo pula berkata, “Kerjasama AEON dan MFA ini bukan hanya boleh dimanfaatkan oleh ahli kami yang berdaftar untuk mempertingkat perniagaan malah ianya juga akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam industri francais kepada rakyat tempatan. Ini selari dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan membantu para usahawan terus berkembang bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.”
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman yang diadakan secara maya pada 7 Mac 2022 itu disempurnakan oleh Deric Yeo, Naib Pengerusi, MFA dan Wan Muhammad Zainal Wan Yahya, Timbalan Pengurus Besar, MFA. Manakala AEON pula diwakili oleh Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif serta Sunny Setiawan, Ketua Pegawai Operasi. Sesi tersebut disaksikan oleh Nuramalina Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Majlis turut dihadiri oleh Mohamad Shukri Salleh, Setiausaha Agung, MFA; Ahli-Ahli Jawatankuasa Utama, MFA; perwakilan dari KPDNHEP; pihak pengurusan serta kakitangan AEON dan MFA.
Memorandum Persefahaman ini turut menggariskan beberapa usahasama strategik yang akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak, antaranya seperti mempromosikan perkhidmatan atau perniagaan AEON kepada ahli-ahli MFA dengan kadar istimewa, memberi keutamaan kepada ahli-ahli MFA atas program-program AEON untuk membantu usahawan francais mikro dan membuka peluang kepada AEON untuk berkongsi pengetahuan berkenaan peruncitan dan inovasinya seperti operasi Peruncitan Baharu atau ‘New Retail’ kepada para pengusaha francais.
Kolaborasi ini adalah selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mana salah satu daripada fokusnya ialah Menyediakan Pekerjaan Yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi (SDG 8). Ianya mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, inklusif dan mampan serta menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk semua.