3 Disember 2020,
SANTAN jenama restoran pertama di dunia yang menawarkan hidangan dalam penerbangan di restoran, menyambut ulang tahun pertamanya dengan pencapaian membanggakan walaupun dilanda cabaran semasa.
Selepas menerima sijil pendaftaran francais rasmi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada bulan September, Santan telah menubuhkan lima cawangan francais baharu di Lembah Klang.
Cawangan itu tidak termasuk di Mid Valley dan Sunway Pyramid serta dua lagi cawangan yang akan dibuka sebelum akhir tahun 2020.
Santan juga telah menubuhkan tiga dapur satelit di Cheras, Shah Alam dan Seri Kembangan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Lembah Klang, terutama melalui perkhidmatan penghantaran.
Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada November, Santan menyaksikan pertumbuhan perkhidmatan penghantarannya sehingga 80 peratus, berbanding 40 peratus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac hingga Mei 2020.
“Santan juga telah menjual lebih 385,000 hidangan sepanjang tahun, termasuklah rangkaian sedia dimakan yang popular.
“Selain menyokong usahawan muda dengan menyediakan platform untuk memulakan karier mereka di dalam industri makanan dan minuman (F&B) melalui francais, Santan terus membantu komuniti setempat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara melalui Kempen Beli Barangan Malaysia dengan pelancaran ‘Santan Food’ pada September – satu ruang khas bertempat di restorannya di Mid Valley Megamall untuk mempromosikan produk buatan Malaysia yang terbaik seperti makanan ringan, kopi serta teh buatan tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya yang berterusan, Santan turut menjenamakan semula T&Co kepada ‘Santan Cafe’ pada 26 Oktober.
Terletak di antara jambatan Mid Valley dan The Gardens, kafe ini menawarkan minuman yang popular di Malaysia dan Asean serta makanan ringan.
“Ini adalah tahun penuh cabaran tetapi membanggakan bagi kami semua di Santan. Kami telah berkembang dari satu restoran hingga kepada hampir sepuluh cawangan, menubuhkan dapur satelit dan memperkenalkan konsep baharu di samping terus menyokong komuniti setempat dengan mendapatkan bahan segar dan produk tempatan, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai orang termasuklah bekas kakitangan sektor penerbangan.
“Kami juga terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui kerjasama berterusan dengan Food Aid Foundation,” katanya.
Sempena ulang tahun pertama, Santan bekerjasama dengan jenama gaya hidup tempatan, Bingka untuk menghasilkan barangan cenderamata buatan tangan yang menampilkan tema ‘Nasi Lemak Pak Nasser’ yang ikonik.
Dihasilkan oleh komuniti tempatan termasuklah suri rumah, tukang jahit persendirian, dan pelajar, cenderamata eksklusif ini boleh didapati dalam talian di santan.com.my dan di semua tujuh cawangan restoran Santan.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/12/649127/santan-catat-pertumbuhan-80-peratus-dalam-tempoh-pkpb