Kuala Lumpur, 19 Okt 2020,
Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2020 (FIM2020) yang diadakan secara Virtual merupakan platform terbaik untuk menerokai peluang perniagaan francais. Program ini dianjurkan secara virtual pada 15 hingga 21 Oktober 2020 dan boleh dilayari pada bila-bila masa, setiap hari.
Menurut pengerusi MFA, Datuk Dr. Haji Radzali Hassan, penganjuran FIM2020 tetap dilaksanakan namun diubah konsep kepada program secara atas talian atau online akibat penularan pandemik Covid-19 yang berlaku pada tahun ini. FIM ini adalah platform terbaik kepada masyarakat yang mencari peluang perniagaan francais dimana para pempamer memaparkan produk atau perkhidmatan kepada pengunjung serta berkomunikasi secara terus mengenai pakej perniagaan francais.
Antara jenama francais tempatan dan antarabangsa yang menyertai pameran ini adalah seperti MBE Etc, LaundryBar, Kenny Rogers Roasters, Marrybrown, MuzArt International, Tealive, The Manhattan Fish Market dan banyak lagi.
Program secara virtual ini buat julung kalinya dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA). Pameran Francais, Persidangan Francais Antarabangsa dan Bengkel Francais adalah antara aktiviti utama yang diadakan sepanjang tujuh hari program ini berlangsung.
Bertemakan “Melangkaui 2020: Ke Arah Pendigitalan Perniagaan Francais” para pengunjung boleh berinteraksi dengan pempamer melalui live chat, video conferencing dan live session.
“Penganjuran kali ini menyasarkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya belia, pesara, wanita, usahawan kecil yang berminat untuk menjalankan perniagaan francais”. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Virtual FIM2020.
Perasmian Virtual FIM2020 telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sementara itu, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata 10% daripada jumlah jenama francais tempatan telah mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara dibawah Program Pengukuhan Pembangunan Francais bagi Meningkatkan Eksport.
“Kementerian sentiasa berusaha untuk meletakkan industri francais sebagai sektor utama yang memberi impak yang tinggi bukan sahaja dari segi pembangunan keusahawanan, menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi nilai tambah kepada masyarakat, malahan lebih jauh daripada itu”.
Orang ramai yang ingin menyertai Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2020 Virtual bolehlah mendaftar di https://vfim.mfa.org.my/ atau hubungi MFA di talian 03-6241 4141 untuk maklumat lanjut berkenaan pameran dan persidangan.
Sumber: BERNAMA
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/press/news.php?id=1891461