14 April 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 13 April – Arca Corporation Sdn. Bhd. (Arca Corporation) menyasarkan untuk membuka 30 pusat pembelajaran awal kanak-kanak, Kool Kids dalam masa lima tahun dari sekarang.
Pengarah Eksekutifnya, Amirah Che Azizuddin berkata, syarikat yang memegang lesen utama bagi pusat pembelajaraan awal dari Australia itu kini dalam peringkat akhir mendapatkan lesen untuk membuka pusat pertamanya di Bangsar yang dijangka beroperasi pada pertengahan tahun ini.
Katanya, tumpuan syarikat adalah untuk membuka pusat-pusat pembelajaran tersebut di kawasan bandar-bandar utama terutamanya yang mempunyai ramai penduduk ekspatriat.
“Mengikut lesen yang kami peroleh, kami dapat membuka 30 cawangan dalam masa 10 tahun. Bagaimanapun, sasaran kami adalah membuka semua cawangan itu dalam masa lima tahun dan dua pada tahun ini.
“Selepas Bangsar, kami sasarkan untuk membuka cawangan di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Bukit Kiara dan Petaling Jaya. Tumpuan kami adalah bandar utama seperti Lembah Klang dan Johor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Arca Corporation memperoleh lesen francais utama bagi Kool Kids pada 2013 dengan membeli hak francais sebanyak RM2 juta.
Pembelajaran di pusat terbabit mengikut sukatan pelajaran dari Australia yang kurang ditawarkan bagi pusat seumpamanya di Malaysia.
Sementara itu, Amirah berkata, syarikat juga berhasrat untuk memfrancaiskan Kool Kids pada masa depan.
“Cadangan kami ada untuk membuka lima buah cawangan sendiri manakala selebihnya adalah francais. Pelaburan bagi membuka pusat ini bergantung kepada saiz dan kapasiti. Dari segi peralatan, kami jangkakan dalam RM500,000 bagi sebuah pusat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kanak-kanak yang dijaga di Kool Kids dari umur lapan bulan sehingga enam tahun.