21 April 2019,
PERNIAGAAN francais bukan baru di Malaysia. Sejak 1940-an, beberapa konsep perniagaan seperti stesen minyak, mesin jahit, pengedaran minuman dan kenderaan adalah perniagaan francais yang lebih dikenali francais cap dagangan.
Pada 1963 menyaksikan A&W memasuki Malaysia dengan outlet pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, menandakan bermula era kemasukan sistem francais dari luar negara. KFC memasuki Malaysia pada 1973, manakala McDonalds memasuki Malaysia pada 1982.
Pihak kerajaan mula memberi perhatian serius terhadap konsep perniagaan francais apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ke-4) melancarkan Program Pembangunan Francais (PPF) di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri pada 1992.
Antara objektif PPF adalah untuk meningkatkan bilangan francaisor tempatan, francaisi induk dan francaisi yang berjaya serta menggerakkan pembabitan Bumiputera dengan lebih aktif dalam sektor perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan.
Tahun 1994 menyaksikan Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan dan penganjuran Pameran dan Persidangan Francais pertama di Malaysia. Bahagian Francais ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan pada 1 Julai 1995 dan hasilnya Akta Francais 1998 diperkenalkan yang menyaksikan Malaysia negara pertama merangka akta sebegini di dunia.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2019/04/555744/memperkasa-francais-negara