18 Mac 2014 – Utusan Malaysia
SISTEM perniagaan yang berkembang pesat dan melibatkan pihak berkepentingan pasti akan menimbulkan pelbagai masalah dan satu daripada penyelesaian terbaik adalah dengan mewujudkan akta atau garis panduan khas sebagai panduan.
Seperti sistem perniagaan lain, sistem francais di Malaysia turut dilindungi oleh undang-undang iaitu Akta Francais 1998 bagi memastikan industri berkenaan ditadbir dengan berkesan dan beretika.
Akta yang bertujuan untuk menyediakan proses lengkap bagi pendaftaran dan peraturan berhubung industri francais bagi memastikan berkembang secara sistematik untuk jangka masa panjang.
Pengenalan peraturan ini adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana yang kondusif dalam industri francais. Dalam masa yang sama dapat memperolehi maklum balas industri.
Selain itu, akta berkenaan turut mengandungi dasar melindungi usahawan tempatan kerana untuk mereka bersaing dengan jenama luar negara dalam tempoh yang singkat adalah amat mustahil dan memastikan golongan berkenaan tidak tertipu dengan mana-mana skim francais yang ditawarkan di pasaran.
Secara umumnya, akta berkenaan merangkumi keseluruhan elemen dalam sistem francais bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat secara adil dan untuk jangka masa panjang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pihak yang terlibat dengan sistem ini perlu peka dan memahami setiap aspek sistem francais, antaranya tiga elemen paling penting iaitu Hak Harta Intelek, sistem operasi dan sistem sokongan berterusan.
Hak Harta Intelek adalah jenama yang akan digunakan dalam sesebuah perniagaan francais yang akan menjadi aset penting dan mampu mewujudkan pelanggan setia. Semakin terkenal jenama berkenaan semakin besar potensi pernigaan. Contohnya seperti McDonald’s, Smart Readers dan lain-lain.
Elemen seperti sistem operasi dan sistem sokongan berterusan adalah perlu kerana akan membuktikan keberkesanan model perniagaan dan kelangsungan pertumbuhan pada masa depan.
Peraturan dalam Akta Francais dilihat mampu memberi impak positif kepada francaisor dan francaisi.
Kesemua perjanjian antara kedua-dua pihak tersebut akan didokumenkan dan dibawah Akta Francais terdapat beberapa elemen yang perlu dijelaskan dalam perjanjian berkenaan antaranya pendaftaran, hak, sistem operasi, tempoh masa, penamatan perjanjian dan pelbagai lagi.
Secara keseluruhannya, undang-undang dalam sistem francais bukan hanya diamalkan di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, cuma berbeza mengikut keperluan sesebuah negara.
PENULIS adalah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia.