BERITA HARIAN – 15 APRIL 2016
HONG KONG: McDonald’s Corp menyasarkan firma ekuiti persendirian termasuk Bain Capital, MBK Partners, TPG Capital Management dan konglomerat kerajaan, China Resources (Holdings) bagi rancangan menjual 2,800 restorannya di Asia Utara, kata individu yang rapat dengan perkembangan itu kepada Reuters.
Gergasi makanan segera Amerika Syarikat (AS) itu sedang melaksanakan model perniagaan baharu di Asia yang kini menjadi pasaran paling sengit bagi rangkaian restoran global, dengan merancang membawa masuk rakan niaga bagi memiliki restorannya di bawah operasi francais.
Beberapa pengendali restoran global beralih kepada model francais dan McDonald’s menetapkan sasaran jangka panjang supaya 95 peratus restorannya difrancaiskan, kata syarikat itu menerusi satu kenyataan pada 31 Mac lalu.
McDonald’s yang berpangkalan di Oak Brook, Illinois melantik Morgan Stanley untuk menguruskan penjualan restorannya di China, Hong Kong dan Korea Selatan, kata individu berkenaan.
Proses penjualan rasmi dijangka bermula dalam masa tiga hingga empat minggu lagi, katanya.
Sebelum itu, McDonald’s dan penasihatnya menyenaraikan beberapa rakan berpotensi yang akan dihubungi untuk menyertai bidaan, kata individu itu.
Rakan francais berkemungkinan akan memiliki kepentingan majoriti dalam restoran di setiap pasaran, malah mungkin sehingga 100 peratus dan bertanggungjawab bagi perbelanjaan modal akan datang.
Struktur yang tepat masih akan ditentukan, kata sumber itu. Sebagai pulangan, McDonald’s akan mendapat bayaran francais sekali saja dan yuran royalti, biasanya dalam lingkungan tiga hingga lima peratus pendapatan tahunan.
Baring Private Equity Asia adalah satu lagi firma yang berkemungkinan dijemput menyertai proses bidaan, kata sumber perbankan yang rapat dengan perkara itu.
McDonald’s enggan menambah lanjut kenyataannya sebelum ini. China Resources, MBK, Bain, TPG dan Baring semuanya tidak mahu memberikan kenyataan manakala Morgan Stanley tidak memberi jawapan kepada e-mel yang dihantar. – Reuters