8 FEBRUARI 2014 – BERITA HARIAN
Pelbagai inisiatif galak siswazah sertai perniagaan
Perbadanan Nasional Bhd (PNS) terus komited dalam pembangunan industri francais tempatan dengan memperkenalkan Program Pelatih Francais, bagi menggalakkan generasi muda khususnya kalangan siswazah menjalankan perniagaan secara francais.
Program khas yang akan dikendalikan Akademi Francais PNS bermula awal bulan depan itu, akan melatih bakal usahawan dengan menempatkan mereka di premis perniagaan francais selama beberapa bulan.
Pelatih yang menunjukkan prestasi baik diberi peluang membuka perniagaan francais sendiri. Pelatih boleh memilih sektor yang mereka minati kerana lebih 650 perniagaan francais berdaftar setakat ini” Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahbudin, Pengarah Urusan PNS
Pelatih yang menunjukkan prestasi baik kemudian akan diberikan peluang membuka perniagaan francais sendiri.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahbudin, berkata PNS menyasarkan 100 pelatih mengikuti program latihan khas itu tahun ini dalam pelbagai sektor perniagaan antaranya makanan, perkhidmatan, pakaian dan aksesori, pusat pembelajaran, asuhan kanak-kanak serta teknologi maklumat dan telekomunikasi.
Pilih sektor perniagaan
Beliau berkata, pelatih boleh memilih sektor yang mereka minati kerana lebih 650 perniagaan francais berdaftar setakat ini.
“Seiring dengan visi kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 serta menjana kualiti hidup rakyat yang lebih mampan dan terangkum melalui model Francais, PNS melangkah setapak ke depan dengan Program Pelatih Francais PNS di kalangan usahawan muda.
“Menjadi harapan kami untuk menggalakkan generasi muda menjadikan perniagaan sebagai kerjaya mereka dan pelaksanaan program ini memberi peluang kepada mereka untuk menceburi bidang perniagaan francais,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, PNS menyediakan pembiayaan sehingga 70 peratus atau maksimum RM500,000 bagi membolehkan pelatih membuka perniagaan francais mereka.
Katanya, francaisor juga akan mengurangkan yuran francais kepada bakal usahawan yang dipilih ke program itu sebagai usaha untuk terus menyuntik semangat kepada peserta yang berjaya.
Kursus lengkap
“Dalam menjalani proses ini, setiap bakal usahawan atau graduan akan menjalani latihan pengurusan perniagaan francais di Akademi PNS.
“Mereka diberi kursus lengkap untuk memberikan pendedahan meluas mengenai bidang perniagaan khususnya francais. Mereka dikehendaki menjalani kursus ini setiap dua bulan bersama Akademi,” katanya.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Akademi PNS di Menara PNS, Bangsar South City, Bangsar, Kuala Lumpur di 03-20827788 atau e-mel zulkhairi.z@pns.com.my.
PNS bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais tempatan menerusi program pembangunan francais, pembiayaan, latihan dan pembelajaran, pemantauan dan khidmat nasihat, promosi dan pelaburan francais.
Mereka yang berminat untuk mengikuti program itu boleh menghubungi Akademi PNS di Menara PNS, Bangsar South City, Bangsar, Kuala Lumpur di 03-20827788 atau emel kepada zulkhairi.z@pns.com.my.