7 FEBRUARI 2014 – UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 6 Feb. – Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. (RHSM) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) bekerjasama membangunkan Hotel Seri Malaysia menerusi kaedah bina, milik dan operasi (B.O.O) serta sistem francais, bertujuan memperkasa penglibatan bumiputera di dalam bidang perhotelan.
RHSM dalam satu kenyataan memberitahu, konsep B.O.O akan menyaksikan pembangunan hotel itu dilaksanakan oleh pemohon usahawan itu sendiri.
Jelas kenyataan itu, di bawah konsep B.O.O, pembangunan hotel perlu mempunyai antara 100 hingga 150 bilik, selain memiliki kemudahan asas lain, dengan tanah di peruntukan antara 1.2 hingga 2.4 hektar.
“Setakat ini, RHSM menerima beberapa permohonan untuk membangunkan Hotel Seri Malaysia di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Sebanyak dua pemohon telah dikenal pasti untuk menyertai program usahasama di antara RHSM dan PNS iaitu pembangunan Hotel Seri Malaysia di Pengerang, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, tempoh masa ditetapkan untuk pembangunan hotel di setiap lokasi adalah selama 3 tahun dari tarikh perjanjian.
Melalui kerjasama itu, pihak PNS akan bertindak sebagai pembiaya pembangunan hotel tersebut meliputi kos pembinaan bangunan, kelengkapan dan prasarana hotel di bawah sistem francais Hotel Seri Malaysia.
RHSM memberitahu, PNS dan usahawan terpilih akan menandatangani perjanjian penyewaan di mana usahawan terbabit mempunyai pilihan untuk membeli semula tapak dan bangunan hotel dalam tempoh masa tertentu.
RHSM pula akan memberikan khidmat nasihat kepada usahawan terpilih daripada peringkat pra pembangunan sehingga ke peringkat pembukaan atau perasmian hotel.
Selain itu, jelas kenyataan tersebut, RHSM sebagai francaisor akan memberikan khidmat latihan secara berterusan kepada kakitangan-kakitangan hotel di samping memantau prestasi dan perkhidmatan diberikan.
RHSM merupakan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan kini mempunyai 21 Hotel Seri Malaysia di seluruh negara dengan jumlah bilik sebanyak 2,099 dan merupakan rangkaian hotel terbesar di Malaysia.
Sebanyak 13 hotel diuruskan oleh francaisi melalui sistem francais Hotel Seri Malaysia manakala lapan lagi diuruskan oleh RHSM selaku francaisor.