14 Jun 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 13 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa lebih banyak institusi kewangan menawarkan skim mikro pembiayaan bagi membantu perniagaan baharu termasuk dalam kalangan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua rakan usahawan di negara ini menerima bantuan, selain dapat menggalakkan keperluan mereka.
“Kepentingan perusahaan kecil dan mikro telah diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Hal ini sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencipta peluang kepada semua dan memastikan kejayaan dapat diagihkan dengan seimbang,” katanya sewaktu berucap dalam majlis perasmian Pameran dan Persidangan Antarabangsa Francais (FIM) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd. Latip Sarrugi.
FIM berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan penyertaan lebih 85 syarikat francais dari dalam dan luar negara.
Tema pameran dan persidangan pada tahun ini ialah ‘Melonjak di luar batasan.’
Pada pameran dan persidangan itu, sebanyak empat memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Malaysia dengan Singapura, Indonesia, Thailand, Australia, Korea Selatan dan Afrika.
Jenama-jenama yang terlibat dalam MoU tersebut ialah Kubah Emas Resources, Naza Tutti Fruitti, Marrybrown dan Smart Reader.
Mengenai peruntukan RM20 juta di bawah Bajet 2015 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kata Najib, kementerian itu telah mewujudkan program Eksport Francais (Franex) yang menyasarkan untuk menggandakan jumlah jenama dan cawangan francais Malaysia di luar negara, bermula 40 jenama setahun.
Beliau memberitahu, program itu menyediakan bantuan kewangan kepada francaisor tempatan dalam dua perkara utama iaitu pendaftaran hak cipta terpelihara serta mendapatkan perjanjian francais luar negara.
“Saya berharap francaisor-francaisor yang layak terutamanya bumiputera akan menjadikan peluang ini untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing,” jelasnya.
Tambah Najib, industri francais telah melonjak sejak kerajaan memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Francais Kebangsaan 2012.
Pelan tindakan itu menyediakan matlamat yang jelas dan spesifik serta industri francais dalam tempoh 2016 sehingga 2020 dijangka mencipta 50,000 peluang kerja baharu.
“Bagi mencapai sasaran itu, industri perlu bergerak ke hadapan daripada sektor tradisional seperti makanan dan minuman, pakaian, kesihatan dan kecantikan kepada sektor yang lebih menjanjikan seperti pendidikan, produk-produk hijau dan perkhidmatan, pelancongan perubatan serta produk atau perkhidmatan pematuhan syariah,” ujarnya.