Kuala Lumpur,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkasakan industri francais sehingga berupaya menjadi penyumbang kepada ekonomi utama negara.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya juga sedang giat melaksanakan empat mekanisme bagi memacu industri itu sehingga ke peringkat global.
Antara mekanisme itu termasuk membangunkan Dokumen Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) yang akan dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat ini.
DFN 2030 merupakan satu dasar bersifat komprehensif dan holistik bagi membangunkan ekosistem francais yang berdaya maju dan mampan melalui transformasi dan pengukuhan jenama francais tempatan serta kecekapan tadbir urus.
“Ia merangkumi lima teras utama seperti menambah baik polisi dan tadbir urus, mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan, memantap kapasiti dan keupayaan usahawan francais, mengoptimum capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais dan meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa”, katanya.
Selain itu kementerian juga melaksanakan inisiatif pemutihan data francais selaras dengan pindaan Akta Francais 1998 (pindaan 2022) di bawah Seksyen 10A yang menetapkan pembaharuan pendaftaran francais setiap lima tahun.
Ia secara tidak langsung membantu kementerian mengawal selia perkembangan perniagaan francais dengan lebih berkesan.
Sepanjang tahun ini juga pihaknya telah melaksanakan sembilan inisiatif menerusi Program Pengukuhan Francais (EDFP) melibatkan usahawan francais tempatan dan telah menjana potensi pelaburan sebanyak RM992 juta.
Ia merangkumi pasaran tempatan dan antarabangsa seperti Indonesia, Filipina, Thailand, United Kingdom, Singapura, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sehingga 31 Oktober lalu, jumlah usahawan francais yang direkodkan melalui Sistem Malaysia Franchise Express 2.0 (MyFEX 2.0) adalah seramai 3,565 usahawan merangkumi 1,310 francaisor dan 2,255 francaisi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengenai statistik usahawan francais di Malaysia dan hala tuju pembangunan industri francais melalui penyelarasan dan kawal selia oleh KUSKOP ke persada antarabangsa.
Sumber: Buletintv3
Artikel Penuh: https://www.buletintv3.my/nasional/industri-francais-jana-potensi-pelaburan-rm992-juta/