Petaling Jaya, 12 Julai 2022,
Lebih 1,000 keluarga menerima manfaat agihan daging korban melalui program yang dianjurkan Chatime Malaysia dengan kerjasama EzQurban.
Program ibadah korban itu disertai bersama 300 sukarelawan di tiga lokasi terpilih iaitu Masjid Jamek Sungai Plong, Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail dan Surau Taman Sri Hartamas.
Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, langkah yang diambil itu selaras dengan pengaktifan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah inisiatif ChatimeCares.
“Ia juga mendorong kami terus konsisten dalam membuat perubahan positif dalam kalangan komuniti-komuniti yang amat memerlukan bantuan.
“Sebagai jenama global yang bertapak kukuh di Malaysia, kami mahu lakukan yang terbaik dalam membantu rakyat Malaysia yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia, Widayu Latiff pula, pihaknya amat menggalakkan badan korporat lain untuk turut sama memberi bantuan kepada rakyat di negara ini.
“Walaupun kami cuba yang terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan, semua ini tidak mampu dilakukan secara bersendirian.
“Kami amat menggalakkan badan-badan korporat dan komersial serta individu lain untuk turut serta menghulurkan bantuan melalui agihan hari ini sambil kita menempuhi fasa endemik yang amat mencabar,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/chatime-sumbang-daging-korban-kepada-lebih-1000-keluarga/