Petaling Jaya, 20 Jun 2022,
Aeon Co (M) Bhd (Aeon) komited menawarkan pelbagai variasi bagi produk pastri Aeon La Boheme di seluruh cawangannya menerusi kolaborasi bersama Nestle KitKat.
Ketua Aeon Delicatessen dan Ketua Pusat Pemprosesan Makanan Aeon, Azidah Alimuddin berkata, Aeon sedar akan permintaan pelanggan yang sentiasa dinamik.
“Justeru, kami mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan KitKat, sebuah jenama yang dikenali dan digemari ramai untuk menghasilkan produk pastri enak dan berkualiti.
“La Boheme yang diperakui halal di Aeon menawarkan pelbagai jenis roti segar dan produk berkaitan bakeri termasuk pastri dan puding.
“Kali ini, kami menampilkan menu yang mengetengahkan resipi bersama KitKat untuk digabungkan dengan barisan roti La Boheme terutama kroisan yang paling diminati pelanggan,” katanya pada majlis Kerjasama Aeon La Boheme dan KitKat di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Aeon BiG (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed dan Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Professional, Yit Woon Lai.
Aeon BiG Jaya One menjadi cawangan pertama yang memperkenalkan produk Aeon La Boheme KitKat itu dan seterusnya akan berada di semua rangkaian Aeon di seluruh Malaysia.
Terdapat lima produk pilihan diperkenalkan melalui kerjasama ini iaitu Nutty Donut, Polkadot Donut, Matcha Croissant, Supreme Muffin dan Cheesy Loaf.
Kelima-lima produk ini boleh didapati di semua cawangan Aeon Co dan Aeon Big.
Sementara itu, Sheikh Farouk berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan antara lima ke 10 peratus bagi produk La Boheme KitKat.
“Di Aeon Big, segmen bakeri berada di kedudukan kelima yang menyumbang kepada jualan dan kami percaya produk ini akan mendapat permintaan daripada penggemar KitKat.
“Kami juga terbuka untuk bekerjasama dengan jenama lain untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan,” katanya.
Selain itu, Yit berkata, Nestle Professional amat teruja kerana kerjasama ini akan memberi peluang kepada peminat KitKat untuk menikmati produk terbabit dalam bentuk yang berbeza.
“Kami juga percaya usaha ini mampu mengeratkan hubungan perniagaan dengan Aeon dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan perniagaan untuk masa terdekat.
“Kerjasama ini juga dapat memperkenalkan jenama La Boheme kepada pengguna secara umum, khususnya kepada peminat setia KitKat,” katanya.
La Boheme yang diperakui halal di Aeon menawarkan pelbagai jenis roti segar dan produk berkaitan bakeri termasuk pastri dan puding.
Terdapat pelbagai produk yang lazat dan berkualiti disajikan setiap hari dalam suasana yang selesa.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/06/853636/kolaborasi-aeon-nestle-kitkat-variasikan-pastri