Kuala Lumpur,
Fasa Peralihan Endamik bermula 1 April ini dilihat dapat memberi impak yang positif kepada aktiviti perniagaan berikutan kelonggaran yang diberikan akan memudahkan urusan penggiat industri serta rakyat Malaysia.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian perniagaan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa akan memudahkan penggiat industr francais melakukan aktiviti rundingan dengan para potensi pelabur atau rakan niaga.
“Kita menjangkakan lebih banyak jenama francais tempatan melebarkan perniagaan mereka pada tahun 2022 berbanding dua tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Jelasnya, fasa endamik ini juga turut memberi ruang kepada MFA untuk lebih giat mempromosikan program dan aktiviti sperti program latihan, promosi dan pemasaran, serta program pengantarabangsaan bagi membantu memulihkan industri francais dan ekosistemnya.
“Bagi peringkat antarabangsa di bawah Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP), MFA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan semula program misi perdagangan antarabangsa secara bersemuka dan digitsl seperti di UAE, Bosnia, Afrika Selatan, Indonesia, Filipina, Asia Selatan dan Indo China,” katanya.
“MFA juga sedang giat mempromosikan program francais mikro dan mampu milik (F3M) kepada penggiat francais dan golongan B40 dan M40, agar menceburkan diri dalam bidang francais dan antara penerima geran penuh untuk francaisor adalah Oldtown White Coffee,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown White Coffee, Dawn Liew berkata, Oldtown akan mengembangkan sistem perniagaan francaisnya dengan membangunkan pakej francais baharu dengan modal kurang daripada RM50,000 dan RM100,000 ke pasaran global.
Jelasnya, pakej baharu ini juga dibangunkan sebagai tanda sokongan kepada hasrat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan B40 dan M40.
” Para pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan prototaip bagi Pakej Perniagaan Francais Mikro (Mesin Layan diri) dan Mampu Milik (Oldtown Express) di Oldtown Kopitiam Carnival yang dianjurkan di Sunway Pyramid bermula 15 hingga 20 Mac ini” tambahnya.
Oldtown menjangkakan pakej francais baharu yang dilancarkan pada hari ini bakal memasuki pasaran pada sukuan ke-empat tahun 2022.
Sumber: BERNAMA
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2063823