10 Mac 2022,
AEON Co (M) Bhd (Aeon) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menandatangani Memorandum Persefahaman dalam usaha bersepadu untuk memperkasa usahawan MFA.
Memorandum persefahaman yang dimeterai ini membolehkan Aeon dan MFA meneroka keampuhan masing-masing dalam menyediakan rangka kerja dan platform untuk mempertingkatkan daya saing, peluang pemasaran serta promosi melalui perkongsian maklumat bagi menyokong, membangun serta menggalakkan perniagaan francais.
Melalui pendekatan ini, usaha diadakan untuk memperkembang perniagaan francais ke peringkat antarabangsa menerusi ekosistem Aeon ke negara seperti Jepun, China, Vietnam, Kemboja serta Indonesia.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya bersyukur bekerjasama dengan MFA dan lebih 500 ahlinya dalam usaha mendorong pengusaha francais maju ke hadapan.
“Ia selari dengan matlamat inisiatif kelestarian untuk negara iaitu Aeon Sayap Bagimu bagi menyokong memajukan bidang keusahawanan francais dan pada masa sama merancakkan industri peruncitan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara.
“Sebelum pandemik melanda, sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat signifikan.
“Pada 2018, sektor ini mencatat sumbangan RM32 bilion kepada KDNK. Sedar akan potensi besar industri ini, minat usahawan menceburkan diri dalam perusahaan francais tetap tinggi walaupun situasi semasa yang mencabar.
“Adalah harapan kami kolaborasi ini merancakkan pembangunan industri selain dari melahirkan pengusaha francais yang berkebolehan tinggi serta mampu menangani peralihan corak pembelian pengguna yang turut menjurus ke arah platform digital,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi MFA, Deric Yeo berkata, kerjasama Aeon dan MFA ini bukan hanya boleh dimanfaatkan ahli MFA berdaftar untuk mempertingkat perniagaan malah ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam industri francais kepada rakyat tempatan.
“Ini selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan membantu usahawan terus
berkembang bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/03/819215/kerjasama-aeon-mfa-buka-peluang-pasaran