Kuala Lumpur, 1 Mac 2018,
7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM) menawarkan semula program francaisnya kepada usahawan tempatan untuk menjadi rakan kongsi dalam menguruskan kedai 7-Eleven.
Pakej program francais itu memerlukan pelaburan RM250,000 bagi individu yang berminat untuk menguruskan operasi kedai 7-Eleven secara sepenuh masa, malah pembabitan yang aktif oleh pemegang francais dipercayai mampu menjana kepada pendapatan lebih tinggi.
Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, berkata berikutan pelancaran itu, SEM akan mengenal pasti calon francaisi sesuai yang sedang mencari peluang perniagaan berpotensi tinggi itu dan mampu memberi komitmen penuh dalam menguruskan perniagaan mereka.
“Graduan universiti harus pertimbangkan untuk menguruskan perniagaan sendiri dan menjadi francaisi 7-Eleven Malaysia kerana ia mempunyai rekod perniagaan yang kukuh.
“Selepas pemegang francais mempelajari cara untuk menguruskan sebuah kedai dengan betul, mereka boleh boleh menguruskan lebih banyak cawangan 7-Eleven, sekali gus menjana pendapatan lebih banyak untuk diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tahun ini, SEM bercadang untuk melabur RM70 juta untuk membuka 200 kedai 7-Eleven baharu dan menambah baik beberapa kedainya di seluruh negara.
Mengakhiri 2017, syarikat itu memiliki 2,225 kedai yang mana kira-kira 10 peratus daripadanya difrancais.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Ho Meng, berkata program itu dilancarkan bagi memberi peluang kepada usahawan yang layak untuk memperoleh pendapatan menerusi usahanya.
“Bagi bayaran RM250,000, ia termasuk bayaran awal francais dan deposit untuk bekalan barangan dan keselamatan yang mana ia akan diterima semula oleh bakal francaisi.
“Ia hanya sebagai jaminan bahawa pemegang francais berkenaan akan mematuhi syarat dan prestasi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, model francais syarikat itu adalah berdasarkan perkongsian untung yang mana SEM akan bertanggungjawab terhadap perbelanjaan seperti pajakan hartanah, peralatan kedai, insurans am, audit inventori, dan servis pemasaran serta menyediakan latihan dan perundingan operasi.
“Pemegang francais pula bertanggungjawab menanggung perbelanjaan operasi kedai secara langsung seperti kos buruh, kekurangan tunai dan inventori,” katanya.
Read more at : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/02/393613/7-eleven-tawar-program-francais