Kuala Lumpur, 6 Mac 2018,
7-Eleven Malaysia (SEM) melancarkan pakej francais paling mampu milik dan mudah hanya pada harga RM250,000.
Melalui program itu, usahawan tempatan yang berminat berpeluang menjadi rakan kongsi bagi mengendalikan dan menguruskan cawangan 7-Eleven secara sepenuh masa.
Pengasas Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan berkata, pelancaran program itu adalah bertujuan mencari calon francaisi sesuai dan individu yang mencari peluang perniagaan menarik dengan potensi pertumbuhan tinggi.
Menurutnya, program ini memerlukan komitmen sepenuh masa dalam menguruskan perniagaan dan ia dilihat amat sesuai dengan graduan menganggur serta usahawan yang memiliki pemikiran milenium di mana mereka akan mendapat pengalaman tidak ternilai dalam menguruskan perniagaan sendiri.
“Semua graduan baru harus mempertimbangkan langkah untuk menguruskan perniagaan sendiri dan menjadi francaisi SEM adalah pilihan tepat kerana ia memiliki rekod perniagaan terbukti,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tahun ini, SEM merancang untuk melabur RM70 juta untuk membuka 200 cawangan baru dan mengubah suai cawangan sedia ada.
Sehingga akhir tahun lalu, syarikat itu memiliki sebanyak 2,225 cawangan dengan kurang 10 peratus daripada cawangan terbabit dikendalikan secara francais.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SEM, Ho Meng berkata, bayaran RM250,000 adalah termasuk bayaran francais awal yang tidak dikembalikan dan deposit yang dikembalikan bagi stok serta sebagai jaminan bahawa francaisi akan mendapatkannya kembali, sekaligus memastikan mereka akan dapat mematuhi kewajipan dan prestasi francais.
Menurutnya, model francais SEM berdasarkan perkongsian keuntungan di mana mereka bertanggungjawab untuk perbelanjaan seperti hartanah, peralatan cawangan, insurans am, audit inventori, perkhidmatan pemasaran dan barangan serta menyediakan latihan penuh dan sokongan perundingan operasi.
“Francaisi akan mendapat lebih banyak manfaat jika mereka dapat menguruskan perniagaan dengan baik kerana mereka bertanggungjawab untuk perbelanjaan operasi cawangan secara langsung seperti kos buruh, kekurangan tunai dan inventori serta perbelanjaan operasi langsung lain,” katanya.
Read more at : https://www.hmetro.com.my/bisnes/2018/03/318753/7-eleven-tawar-pakej-francais-mampu-milik