13 March 2015 – Utusan Malaysia
KUALA PILAH 12 Mac – Francais tempatan mendapat sambutan amat baik di luar negara dengan 60 jenama kini menembusi 55 buah negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, permintaan terhadap produk francais negara membuktikan sektor berkenaan mampu berkembang dengan lebih pesat.
Jelas beliau, ini secara tidak langsung meningkatkan aliran wang masuk ke Malaysia menerusi peningkatan eksport produk tempatan ke negara luar.
“Dari segi perbandingan pendapatan francais dalam nilai mata wang dolar Amerika Syarikat, Malaysia berada pada kedudukan yang memberangsangkan dengan perolehan sebanyak AS$7.5 bilion (RM27.73 bilion).
“Malah dari segi jumlah francaisor yang beroperasi ketika ini, Malaysia berada pada kedudukan yang selesa tetapi perlu diperbaiki dengan jumlah sebanyak 770 berbanding Singapura (600) dan Indonesia (490),” katanya.
Hasan berkata demikian kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Pemimpin Koperasi dan Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sembilan di sini malam semalam.
Katanya, Pelan Induk Pembangunan Francais 2012 merencanakan setiap inisiatif dan strategi bagi memperkasakan industri francais dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara menjelang tahun 2020.