3 Ogos 2015 – Sinar Harian
“TERDAPAT 60 jenama francais tempatan yang berjaya menembusi 55 negara sehingga hari ini dan pencapaian ini merupakan satu kebanggaan kepada kita,” kata Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh.
Menurutnya, antara destinasi yang berpotensi untuk francais Malaysia mengembangkan perniagaan mereka adalah Asean, China dan India yang mempunyai populasi besar serta budaya yang hampir sama.
“Pasaran Timur Tengah juga turut berpotensi untuk ditembusi memandangkan Malaysia terkenal dengan produk halal yang dipercayai negara-negara tersebut,” katanya pada sidang media Malam Anugerah Francais 2015 (MAF 2015).
Mohamad Shukri berkata, perkembangan industri francais turut mendapat perhatian daripada kerajaan dan ini terbukti apabila dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan bagi industri tersebut.
“Dana tersebut adalah untuk perlindungan harta intelek dan perjanjian francais bagi francais tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.
“Dana berjumlah RM20 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan adalah untuk tempoh lima tahun bermula 2015,” katanya.
Mohamad Shukri turut menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), produk nilai tambah dan sistem yang bagus adalah kunci kepada kejayaan perniagaan francais hari ini.
“Sistem francais yang baik akan melabur dalam R&D, untuk memastikan perniagaan mereka kekal berdaya maju dan seterusnya mampu melebarkan perniagaan ke luar negara.
“Trend francais juga turut mengalami perubahan selari dengan perkembangan semasa beberapa sektor yang baharu muncul dan mengatasi penguasaan sektor makanan dan minuman (F&B),” katanya.
Menurut Mohamad Shukri, sehingga hari ini, terdapat lebih 700 francais yang berdaftar dengan bahagian francais Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Sementara itu, Pengerusi MAF 2015, Datuk Zahriah Abd Kadir berkata MAF 2015, membuktikan industri francais negara semakin berkembang dan berdaya saing.
“Penganjuran MAF 2015, bukan sahaja mengiktiraf sumbangan pemain industri francais, malah menggalakkan inovasi produk tempatan selain mempromosikan persaingan sihat dalam usaha meningkatkan tahap kemajuan perniagaan sektor francais yang lebih berkualiti.
“Kami menjangkakan sebanyak 180 pencalonan terdiri daripada 40 buah syarikat akan menyertai anugerah ini untuk bertanding dalam 18 kategori pada 17 November akan datang di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya,” katanya.
Antara kategori utama anugerah yang dipertandingkan ialah Francais Terbaik, Sistem Francais, Francaisi, Kategori Terbuka dan Penghargaan Khas, di mana penyertaan masih lagi dibuka sehingga 8 Ogos 2015.