5 March 2015 – Berita Harian
KUALA LUMPUR: Industri francais berkembang pesat apabila hingga tahun lalu, 522 syarikat francais berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menteri, Datuk Seri Hasan Malek, berkata hingga kini ada 768 francaisor berdaftar dengan Pendaftar Francais membabitkan 7,525 francaisi.
“Sebanyak 58 jenama francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa antaranya Smart Reader, Bangi Kopitiam, Nelson, Q-Dees, MarryBrown dan Pusat Tuisyen Mawar.
“Ini membuktikan bahawa industri francais negara mendapat tempat dalam kalangan usahawan sebagai antara cabang keusahawanan yang berdaya maju,” katanya berucap pada majlis perasmian Menara Perbadanan Nasional Bhd (PNS) di sini hari ini.
Pelancaran Menara PNS yang diadakan sempena program Sidang Kemuncak Francais Antarabangsa 2015 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Yang hadir sama Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Pengerusi PNS, Datuk Idris Hashim dan Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, PNS sentiasa berusaha untuk melahirkan usahawan dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi menyokong aspirasi Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional.
Sasaran lima tahun pelan induk itu 2012 hingga 2016 menyasar sumbangan industri francais sebanyak 9.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.
Sementara itu, Menara PNS setinggi 17 tingkat di Bangsar South di sini, dibina dengan kos RM158 juta adalah bangunan bertaraf Koridor Raya Multimedia (MSC) dan berstatus Bangunan Hijau.
Sebelum ini, PNS beroperasi selama 14 tahun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum berpindah ke Menara PNS pada 2012.