23 September 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhasrat memperkenalkan tiga lagi jenama francais tempatan ke Myanmar menerusi Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) kali ketiga di Yangon yang akan diadakan pada 1 hingga 4 Oktober ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK, Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata, jenama terbabit ialah Cambridge English For Life (pendidikan), Global Art (seni kanak-kanak) dan Bangi Kopitiam akan diperkukuhkan dalam pasaran di negara tersebut.
Katanya, pada tahun lalu, KPDNKK telah membawa empat jenama francais tempatan ke Myanmar iaitu Soo Shan (jenama makanan), Marry Brown, Smart Reader Kids dan Bangi Kopitiam.
“Setakat ini KPDNKK sudah memperluaskan 58 jenama francais tempatan ke 53 buah negara di seluruh dunia dan Mynamar merupakan salah sebuah negara yang memiliki potensi tinggi,” katanya pada sidang akhbar MSE di sini hari ini.
Pameran itu yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) melibatkan 70 syarikat daripada Malaysia dengan 15 kelompok dalam perkhidmatan dan produk.
Tahun lalu, MSE mencatat nilai jualan RM102.6 juta berbanding RM83.98 juta pada 2012.
Sepanjang pameran itu, Matrade dijadual melaksanakan lebih 450 pemadanan perniagaan melibatkan syarikat Malaysia dan Myanmar. Terdapat pelbagai program diadakan, antaranya, seminar dan bengkel bagi meningkatkan kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Rentas Sempadan Matrade, Amran Yem berkata, pihaknya amat menggalakkan syarikat-syarikat di Malaysia supaya mendaftar secara percuma dengan Matrade bagi membolehkan mereka bergerak dengan lebih aktif di peringkat global.
“Kami bersedia bekerjasama dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang mahu melangkah ke pasaran antarabangsa asalkan mereka mendaftar dengan Matrade dan kami akan menguruskan segala-galanya termasuk dari segi peraturan dan undang-undang sesebuah negara,” katanya.
Jelas beliau, Myanmar merupakan rakan perdagangan yang penting kepada Malaysia terutama apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilaksanakan tahun depan.
Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Myanmar meningkat 51.4 peratus kepada RM2.03 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM1.34 bilion, manakala jumlah eksport meningkat 72.4 peratus kepada RM1.67 bilion.
“Pada tahun lalu sahaja, jumlah pelaburan Malaysia di Myanmar mencecah RM50 juta dan kita jangkakan nilai itu akan bertambah tahun ini. Antara dua sektor utama yang mempunyai potensi tinggi ialah minyak dan gas serta infrastruktur pelancongan,” katanya.