31 Mac 2014 – Utusan Malaysia
SHAH ALAM 30 Mac – Syarikat Naza Tutti Frutti (M) Sdn. Bhd. (Tutti Frutti) bakal membuka 15 cawangan Tutti Frutti Frozen Yogurt baharu menjelang hujung tahun ini.
Pengarah Urusannya, Izham Hakimi Hamdi berkata, pihaknya telah pun membuka tiga cawangan baharu di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur; Bandar Jengka, Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada awal tahun ini.
“Pembukaan tujuh buah cawangan baharu lagi masing-masing lima di Sabah dan dua di Sarawak pada Jun ini, sekali gus menambah bilangan lima buah Tutti Frutti sedia ada di sana,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran semula Tutti Frutti di Plaza Shah Alam di sini semalam.
Yang turut hadir, pemilik Tutti Frutti cawangan Plaza Shah Alam yang juga Pengarah Intelligence PC Centre Sdn. Bhd., Zainal Fared Zainal Abidin dan rakan kongsi beliau, Sheikh Hafiq Alfirdaous.
Sementara itu, Tutti Frutti turut menambah baik beberapa cawangan sedia ada dengan memperkenalkan konsep premis baharu yang mengambil kajian dan komposisi penduduk berdekatan cawangan bagi menarik perhatian pelanggan.
Menurut Izham Hakimi, konsep baharu Tutti Frutti itu akan menyediakan ruang-ruang yang bersesuaian dengan masyarakat sekeliling seperti ruang membaca dan permainan kanak-kanak seperti di cawangan Plaza Shah Alam yang berorientasi kekeluargaan.
Beliau berkata, Tutti Frutti juga akan memperkenalkan semula konsep baharu di cawangan Bandar Sri Permaisuri, Cheras, dengan konsep golongan muda sesuai dengan persekitarannya dalam tempoh tiga minggu lagi.
“Jumlah jualan di cawangan yang mengguna pakai konsep sebegini didapati dapat meningkatkan hasil jualan antara 50 hingga 100 peratus sebulan,” ujarnya.