3 November 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sebanyak 122 buah cawangan Smart Reader Kids di seluruh negara menerima pelbagai kategori anugerah pada majlis Franchisee Awards Nite 2014 yang diadakan di Hotel Royale Chulan di sini, malam tadi.
Dalam majlis berkenaan, Sylvia Lim Pek Cheng, 42, dari cawangan Smart Reader Kids dan Smart Reader Kids Junior di Chong Hin Garden, Kuching, Sarawak meraih kejayaan besar apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Francais bagi tahun ini.
Alias Ayob dari cawangan Smart Reader Kids Jalan Arau-Kodiang, Perlis pula memenangi Anugerah Harapan Francais 2014.
Selain itu, beberapa cawangan Smart Reader Kids turut menerima anugerah antaranya bagi kategori Gold, Platinum dan Diamond.
Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. Datuk Seri Richard Ong menyifatkan semua kemenangan anugerah itu cukup penting bagi memastikan prestasi agensi tersebut meningkat.
“Malah, kemenangan itu juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kebolehan penerima,“ katanya.
Dalam majlis tersebut, Program Insentif Bahasa Inggeris turut dilancarkan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Lebih 400 pengetua dan guru dari cawangan Smart Reader Kids seluruh negara hadir dalam majlis tersebut.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.